Saturday, December 13, 2008

SEJARAH PENUBUHAN SAHABAT

Bermula dengan usaha gigih beberapa orang hamba Allah yang prihatin dengan pendidikan agama saudara-saudara baru di Sabah, maka lahirlah sebuah kelas bimbingan saudara baru yang dinamakan Teratak Fitrah pada 02.02.2002 yang hanya mempunyai 30 orang pelajar pada pengambilan pertama.

Tarikh 02.02.2002 juga merupakan tarikh keramat di mana Kelas Bimbingan Teratak Fitrah telah dirasmikan oleh YAB Datuk Lajim Hj. Okin. Program ini telah diilhamkan dan ditubuhkan oleh Ustazah Nordianah Alwi, Ustaz Sarip Adul dan dibantu oleh beberapa orang tenaga pengajar dari Kolej Ibukota. Mereka adalah di antara orang-orang kuat dan banyak menyumbang kepada penubuhan dan pengendalian Kelas Bimbingan Teratak Fitrah pada peringkat awal. Program ini pada asalnya merupakan usahasama antara CIST KIK - JHEAINS, dan dibantu oleh USIA dan BAKISA. Pada Januari 2003 pogram ini telah diletakkan di bawah unit Ukhwah, bahagian dakwah JHEAINS, namun ianya masih lagi di bawah pengurusan Ustazah Nordianah Alwi dan dibantu oleh sekumpulan sukarelawan sehingga bulan Oktober 2004. Program Teratak Fitrah ini diwujudkan khusus untuk memberi bimbingan kepada saudara kita yang baru memeluk Islam.

Kronologi Teratak Fitrah
Awal 2002 - awal 2003
Program Teratak Fitrah bermula di Kolej Ibukota Kota Kinabalu di bawah kelolaan Ustazah Nordianah Alwi dan dibantu oleh tenaga pengajar daripada KIK, JHEAINS serta pelajar-pelajar KIK yang mengambil subjek amal islami sebagai sebahagian daripada kegiatan kokurikulum mereka. Pelajar-pelajar dari Sekolah Menengah Toh Puan Hajjah Rahmah dan Ma’ahad Tahfiz turut menyumbangkan bakti mereka sebagai sukarelawan. Dalam tempoh ini, sumber kewangan program ini hanya bergantung kepada derma ikhlas dari beberapa orang hamba Allah yang pemurah dan prihatin.

Pertengahan 2003 – April 2004Program ini terpaksa dipindahkan ke Sekolah Menengah Toh Puan Hajjah Rahmah kerana bilangan pelajar yang semakin bertambah dan masalah kelas yang tidak mencukupi. Pada ketika itu sukarelawan dari Kolej Ibukota masih tetap datang untuk menyumbangkan bakti mereka sambil dibantu oleh sukarelawan daripada Sekolah Menengah Toh Puan Hajjah Rahmah. Kelas ini sempat berjalan sehingga April 2004. Program ini juga telah mula mendapat perhatian dari Unit Zakat Kota Kinabalu dan mereka mula menyalurkan bantuan.

April 2004- Mei 2007
Pada bulan April 2004, sekali lagi kelas pengajian ini terpaksa dipindahkan ke Masjid Bandaraya Kota Kinabalu. Bermula dari ruang kelas di dalam masjid dan kemudiannya berpindah ke ruang solat wanita tingkat atas. Di Masjid Bandaraya tempatnya luas dan agak selesa, namun masih terdapat beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan. Walaubagaimanapun di sini, Kelas Bimbingan Teratak Fitrah sempat berjalan selama lebih kurang 2 tahun. Pada bulan Oktober 2004, Ustazah Nordianah telah menyerahkan pengurusan Teratak Fitrah ini kepada Puan Sallewati Fan kerana beliau mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke Semenanjung Malaysia dan seterusnya mendapat tawaran bekerja di JAKIM, Kuala Lumpur. Pada ketika itu keadaan pengurusan Teratak Fitrah agak goyah kerana peralihan pengurusan dan Puan Sallewati telah mengajukan masalah ini kepada pihak JHEAINS. Ekoran daripada itu bahagian dakwah JHEAINS mengambil tindakan dengan mengarahkan Ustaz Awaludin dan juga Ustazah Maria untuk membantu di dalam pengendalian Kelas Bimbingan Teratak Fitrah.

Mei 2007Kelas Bimbingan Teratak Fitrah buat yang kesekian kalinya terpaksa dipindahkan lagi ke Madrasah Islamiah Negeri Sabah di Sembulan pada bulan Mei 2007 dan sehingga kini Kelas Bimbingan Teratak Fitrah ini terus berjalan di sini walaupun masih terdapat beberapa masalah yang timbul seperti ruang kelas yang sempit, ketiadaan dewan untuk berkumpul, tempat mengambil wudhu yang terbuka dan sebagainya.

Meskipun terpaksa menempuh pelbagai rintangan dan halangan Kelas Bimbingan Teratak Fitrah tidak pernah terhenti. Ianya terus berjalan dan berkembang dengan matlamat untuk memberi pendidikan asas dan juga bimbingan kepada saudara kita di Sabah yang kehausan ilmu agama. Jumlah pelajar juga semakin bertambah dari hari ke hari. Selain daripada itu, Teratak Fitrah juga telah mempunyai sebuah rumah kebajikan saudara baru yang terletak di Jalan Kurol Melangi, Kampung Likas yang berfungsi sebagai rumah perlindungan kepada saudara baru yang menghadapi masalah, tempat belajar mengaji, tempat mengadakan program-program dakwah dan juga tempat untuk menjana kegiatan ekonomi saudara kita. Sehingga kini Teratak Fitrah telah mempunyai lebih daripada 120 orang pelajar dan ramai yang telah menamatkan pendidikan asas.

Kemunculan SAHABATKewujudan Teratak Fitrah yang asalnya hanya tertumpu kepada program bimbingan, secara perlahan-lahan diperkembangkan kepada kegiatan dakwah. Walaubagaimanapun kegiatannya terhad kerana ianya bukan satu persatuan yang bebas bergerak tetapi hanya satu kelas bimbingan di bawah naungan JHEAINS sahaja. Oleh yang demikian, pada November 2005 JHEAINS telah mencadangkan untuk mewujudkan satu badan yang dapat membantu di dalam pengurusan hal ehwal mualaf dan pembangunan sosio ekonomi para mualaf. Ekoran daripada itu maka satu mesyuarat telah dibuat pada 28 Januari 2006 untuk melantik jawatankuasa penaja SAHABAT.

Pada 17 Febuari 2007, Mesyuarat Agong Pertama SAHABAT dibuat, maka dengan itu tertubuhlah Pertubuhan Kebajikan Saudara Kita ataupun SAHABAT. Bumi mana yang tidak ditimpa hujan, begitu juga dengan SAHABAT. Di dalam melaksanakan pelbagai program, SAHABAT menghadapi pelbagai masalah dan halangan. Di antara cabaran yang paling berat ialah ketiadaan dana untuk melaksanakan program-program, maklum saja ini merupakan pertubuhan bukan kerajaan dan sukarela. Oleh itu Ahli Jawatankuasa Tertinggi SAHABAT terpaksa bekerja keras untuk menjayakan program dalam biro masing-masing. Alhamdulillah walaupun di dalam kepayahan dan dalam usia yang baru setahun jagung, berkat usaha dan komitmen Ahli Majlis Tertinggi serta ahli-ahli SAHABAT, pelbagai program dan aktiviti telah dapat dilaksanakan seperti bazaar untuk mengutip dana, jelajah SAHABAT bersama Ustaz Hj. Nicholas Sylvester, pameran SAHABAT, kenduri Qorban, lawatan amal orang sakit, pengurusan jenazah saudara kita, membaca yasin serta ceramah aktiviti pendidikan dan banyak lagi.